PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersama barisan kepimpinan parti menyanyikan lagu UMNO ketika pembukaan majlis taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. Seramai 5,447 anggota perwakilan berhimpun pada persidangan selama lima hari hingga Sabtu ini.- Foto Aizuddin Saad.
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011: PERHIMPUNAN Agung UMNO 2011 kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) bagi memastikan pentadbiran Kerajaan di Putrajaya terus dipertahankan.
Mereka dengan nada selari memahami kehendak pimpinan tertinggi UMNO dan seterusnya mendokong amanat Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak supaya menjadikan perpaduan sebagai tonggak utama terhadap usaha itu.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata perpaduan di kalangan ahli parti adalah aspek penting dalam melakukan persiapan menghadapi PRU-13.
Beliau berkata, ia adalah pilihan raya paling getir dalam sejarah parti kerana menjadi penentu terhadap usaha mempertahankan Putrajaya.
“Berdasarkan suasana ketika Presiden parti menyampaikan amanat belia, perwakilan memahami dengan jelas peranan yang perlu dilaksanakan setiap pihak dan persiapan yang perlu mereka lakukan sebelum PRU-13,” katanya ketika ditemui Berita Harian Online selepas amanat Presiden parti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Sementara itu, Bendahari Wanita UMNO bahagian Hulu Terengganu, Rokiah Koyakuty, berkata pucuk pimpinan di setiap bahagian dan cawangan harus turun padang bagi memberi penjelasan berhubung perjuangan UMNO dengan lebih mendalam.
“Ketepikan perasaan (tidak baik) jika tidak dicalonkan, yang penting ahli UMNO perlu bersatu dalam mendukung hasrat parti,” katanya.
EXCO Puteri UMNO, Idamoerni zakaria, berkata sebarang perselisihan faham dan masalah peribadi perlu diketepikan bagi menghadapi PRU-13.
“Sebaliknya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam merapatkan saf dan perpaduan bagi menjamin keutuhan UMNO,” katanya. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment