My Add

Monday 28 November 2011

Apa kesalahan saya dipecat – Entri Muran

MIRI, ISNIN, 28 November, 2011: 
BEKAS Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Sylvester Entri Muran memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui kesalahan yang telah dilakukannya sehingga dipecat daripada parti tersebut.

‘‘Saya tidak tahu apa kesalahan saya hingga diperlakukan begini sedangkan saya telah dipilih oleh penyokong Barisan Nasional (BN) di Marudi, bukannya Majlis Tertinggi parti.

‘‘Malah, rakyat di Marudi memberi sokongan padu kepada saya hingga membolehkan BN memenangi pilihan raya negeri yang lalu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, di sini semalam, lapor SOPI SAMAILE.

Entri yang juga Menteri Muda Bekalan Air negeri memberitahu, sebagai salah seorang pengasas SPDP, beliau berhak berpegang kepada prinsip yang difikirkan betul.

Katanya, sama ada masih dalam SPDP atau tidak, khidmatnya terhadap rakyat di DUN Marudi akan tetap diteruskan atas dasar semangat BN dan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Pengerusi BN Sarawak.

Pada Jumaat lalu, Presiden SPDP mengumumkan Entri yang merupakan salah seorang anggota Kumpulan SPDP 5 dipecat kerana sering bercanggah pendapat dan gagal menghadiri beberapa mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sementara itu, lebih 2,000 penduduk termasuk 88 tuai rumah di Marudi, penghulu, kaunselor serta penyokong Entri berkumpul di Rumah Panjang Ela di Selulit Tinjar malam kelmarin.

Rata-rata mereka menyatakan sokongan padu serta berdiri teguh di belakang wakil rakyat tersebut meskipun Entri bukan lagi Naib Presiden SPDP. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment