PEMUDA UMNO akan menggunakan program transformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai mantera untuk meraih sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata program transformasi seperti politik yang menjurus kepada kebebasan sivil dan memperkasakan hak asasi, menepati citarasa generasi muda terutama yang tidak menganggotai parti politik atau "atas pagar".
Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata program transformasi seperti politik yang menjurus kepada kebebasan sivil dan memperkasakan hak asasi, menepati citarasa generasi muda terutama yang tidak menganggotai parti politik atau "atas pagar".
Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, beliau akan mengupas program transformasi itu pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Rabu ini.
"Saya akan memperhalusi signifikasi dan makna sebenar transformasi yang dibawa Perdana Menteri supaya lebih difahami bahawa ia adalah tuntutan zaman bagi generasi muda yang sebenarnya cukup dekat dengan aspirasi golongan tersebut," katanya pada sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011, di sini hari ini.
Khairy turut mengingatkan perwakilan Pemuda UMNO agar membahaskan perkara yang berkaitan dengan kepentingan generasi muda kerana butiran perbahasan turut dinilai masyarakat di luar.
"Jadi selain daripada sensitiviti kaum, apa yang dicakapkan itu mesti ada relevan dengan orang muda di luar dan jangan sampai mereka lihat apa yang dibahas oleh Pemuda langsung tidak relevan dengan citarasa, kehendak dan aspirasi mereka," katanya.
Mengenai pilihan raya umum, Khairy berkata kekuatan jentera Pemuda akan diperkukuhkan menerusi satu kursus yang menyeluruh di peringkat bahagian.
Dalam pada itu, Khairy berkata simbol perpaduan antara Pemuda UMNO dan rakan sayap dalam komponen BN dapat dilihat menerusi gerak kerja bersama, berbanding secara bersendirian sebelum ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment