My Add

Wednesday, 30 November 2011

Bai’ah penguat kekalkan sokongan terhadap parti

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: 
BAI'AH, yang dilafazkan perwakilan UMNO yang menghadiri majlis Taklimat Presiden UMNO semalam, menjadi elemen penguat anggota UMNO untuk komited kepada parti bagi memastikan kemenangan setiap calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan mereka berbai’ah itu tepat pada masanya dan ia diyakini mampu mengatasi kelemahan yang terdapat di dalam parti itu.

Katanya, bai’ah yang bermaksud ikrar atau janji setia itu secara tidak langsung mampu mengelakkan unsur sabotaj terhadap calon BN.

Beliau berkata, anggota di semua peringkat perlu menghayati ikrar taat setia itu dan menterjemahkannya dalam setiap tindakan dalam usaha meraih sokongan undi.

"Oleh kerana kita akan menghadapi pilihan raya umum dalam waktu yang terdekat, maka ”genjatan senjata” hendaklah dilakukan di peringkat akar umbi supaya masalah lama tidak mengganggu tumpuan parti terhadap pilihan raya.

"Yang penting bai’ah kita kali ini adalah untuk menentukan atas nama parti, bangsa dan negara untuk sama-sama melupakan masalah pemilihan dengan menumpukan taat setia, pengukuhan serta pemerkasaan sistem di dalam menghadapi pilihan raya supaya janji itu dapat diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan,” katanya.

Ahmad Zahid berharap agar bai’ah yang dilafazkan itu dapat dihayati kepimpinan di peringkat akar umbi supaya mereka turut merasai semangat yang sama, sekaligus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment