My Add

Monday, 28 November 2011

Semangat “Nasi Merdeka” UMNO makin luntur - Veteran Perlis

KANGAR, ISNIN, 28 Novemver, 2011:
SEKALIPUN bangga dengan kematangan UMNO sekarang, beberapa ahli veteran di negeri ini bimbang dengan masa depan parti itu apabila melihat semangat perjuangan asal semakin luntur pada kalangan anggota.

Menyamakan perjuangan itu sebagai semangat “nasi merdeka”, mereka melihat anggota sekarang sudah leka dengan kejayaan yang dicapai parti sehingga mengetepikan kepentingan pengorbanan diri demi keutuhan UMNO.

Bekas Setiausaha Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Selamat Saad berkata ”orang dulu” menjual nasi lemak dan hasilnya disalur kepada tabung perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London bagi merundingkan kemerdekaan negara.

"Kami bekerja dengan semangat yang satu iaitu berkorban untuk parti demi negara,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Namun, kata veteran berusia 76 tahun itu suasana UMNO sekarang sudah jauh berubah kerana selain wujud puak-puak, parti tersebut juga dianggotai mereka yang meletakkan kepentingan diri melebihi perjuangan parti.

Justeru, beliau mengharapkan perhimpunan agung yang bakal berlangsung minggu ini dapat mengembalikan kekuatan semangat “nasi merdeka” demi masa depan UMNO sendiri.

Pendapatnya dikongsi seorang lagi anggota veteran Datuk Mohd Zain Hamzah, 76, yang mahu pemimpin parti menangani isu puak dalam UMNO.

"Dulu ahli UMNO memikirkan perjuangan untuk memerdekakan negara tapi sekarang negara dah merdeka. Ada yang hanya memburu peluang melalui parti,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Bekas Naib Ketua UMNO Arau itu berkata, pada zaman dahulu anggota parti menerima seikhlas hati siapa sahaja yang dipilih sebagai calon pilihan raya dan memberi sokongan padu.

"Namun perkara itu sudah tidak berlaku sekarang kerana wujudnya unsur puak yang menyebabkan ada calon ditolak kerana bukan dari puaknya. Perkara ini harus diubah segera,” katanya.

Beliau juga berkata, ahli UMNO pada peringkat awal kemerdekaan tidak mementingkan wang ringgit dan peluang menjadi pemimpin digunakan untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment