My Add

Tuesday 29 November 2011

Ahli, pemimpin UMNO harus perkasa iltizam yakinkan rakyat

SHAH ALAM, SELASA, 29 November, 2011:
SEMUA pemimpin dan ahli UMNO diingatkan supaya sentiasa memperkasakan iltizam mereka dalam melaksanakan setiap usaha untuk menyakinkan rakyat terhadap parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, iltizam itu harus ditanam dalam setiap pemikiran pemimpin dan ahli UMNO kerana beliau merasakan persepsi bahawa politik adalah mudah bagi parti itu sudah tidak ada lagi pada era ini.

Ini kerana, persepsi sedemikian sebenarnya tidak boleh dipakai lagi kerana UMNO sendiri menerusi Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan transformasi terhadap parti bagi menyakinkan rakyat di negara ini.

“Malah, Presiden sendiri (Najib) sebelum ini telah berulang kali menyebut bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah tidak ada lagi.

“Justeru, kita perlu perkasakan iltizam kita. Kita tahu keadaan politik telah berubah dan era politik itu mudah bagi UMNO telah berlalu. Tumpuan kita ialah menyakinkan dan mendapat kepercayaan rakyat dengan membuktikan UMNO adalah parti yang benar-benar berkhidmat untuk mereka.

Menurut beliau, di Selangor sendiri parti itu mempunyai 430,000 orang ahli iaitu 380,000 adalah pengundi berdaftar dan mempunyai 2,450 cawangan yang sah.

“Tidak ada sebab kita tidak boleh bangkit,’’ tegasnya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Seorang lagi Ahli MT, Datuk Ir. Idris Haron menyifatkan UMNO hari ini bukan lagi sebuah parti yang mendominasi landskap politik negara.

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, ini kerana pemikiran masyarakat hari ini tidak lagi berasaskan pembangunan sosioekonomi tetapi lebih kepada ciri-ciri kepimpinan ahli parti itu sendiri.

‘‘Masyarakat hari ini tidak lagi melihat kepimpinan UMNO di peringkat bahagian atau cawangan sebagai tempat untuk mendapatkan kemudahan infrastruktur atau keperluan-keperluan lain kerana ia sudah ada.

‘‘Apa yang diinginkan adalah untuk melihat sejauh manakah pucuk kepimpinan tersebut menangani keperluan dan kehendak mereka walaupun mereka bukan ahli parti,” katanya.


No comments:

Post a Comment