My Add

Wednesday 30 November 2011

Undang-undang perlu dihormati

 

MOHD. Shafie Apdal bersama sebahagian 86 Pelajar Yayasan Pendidikan Mara pada majlis penyerahan biasiswa di bawah projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
UGUTAN Azmin Ali yang mahu merobohkan kezaliman penjara sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan membuktikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak menghormati undang-undang dan sistem demokrasi negara.

Menurut MOHD. RAFIE AZIM. selain mengingatkan bahawa tidak ada individu yang kebal daripada tindakan undang-undang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, sikap itu juga jelas berbeza dengan prinsip parti tersebut yang kononnya sentiasa mahu menegakkan undang-undang dan demokrasi.

“Tindakan itu jelas menunjukkan ketaksuban Azmin terhadap Anwar. Sama ada melanggar undang-undang atau tidak, Anwar perlu sentiasa dibela.

“Tetapi rakyat tidak perlu memberi sokongan kepada mereka. Kita harus sedar dan tahu bahawa tindakan seperti ini hanya akan meruntuhkan sistem demokrasi dan perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa kepada 86 pelajar Yayasan Pelajaran Mara di bawah projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) di Hotel Seri Pacific, di sini semalam.

Semua pelajar terbabit masing-masing menerima biasiswa RM400,000 untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan selama tiga tahun di Universiti Selangor (Unisel) serta dua tahun di salah sebuah universiti di Jepun.

Mengulas pujian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak yang berada di landasan tepat untuk memajukan Malaysia, Shafie berkata, ia merupakan hakikat yang tidak dapat disangkal.

“Penelitian Tun Mahathir pada saya amat tepat kerana kepimpinan Najib pada hari ini jelas membawa transformasi yang sangat besar ertinya dalam menuju kemajuan.

“Segalanya terbukti terutama melalui penumpuan kepada inisiatif-inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” ujarnya.

Beliau menambah, disebabkan hakikat itu jugalah, pembangkang beria-ia melontarkan pandangan negatif mengenai ketidakupayaan kerajaan mentadbir serta mendakwa kononnya kerajaan tidak mampu melaksanakan program demi kesejahteraan rakyat.

“Sebenarnya pembangkang sedar dan amat mengetahui bahawa kerajaan mampu serta mempunyai kewangan mencukupi bagi melaksanakan apa jua perkara yang dirancang.

“Maka mereka terpaksa mengkritik dan melontar ungkapan negatif bagi menambat hati rakyat. Disebabkan itu jugalah, terkeluar kenyataan-kenyataan tidak sepatutnya seperti diungkapkan Azmin,” katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment