My Add

Monday, 28 November 2011

BNBBC dengar rintihan pelajar Malaysia di Indonesia,

JAKARTA, ISNIN, 28 November, 2011: Masalah penuntut Malaysia di Indonesia, terutama berkaitan biasiswa, pinjaman pelajaran dan insurans kesihatan, mendapat perhatian Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Parlimen Malaysia. 

Dengan duduk sebaris di kerusi menghadap penuntut berkenaan pada majlis jamuan malam, sekumpulan anggota BNBBC malam kelmarin begitu tekun mendengar keluhan dan rintihan penuntut dan kemudian berjanji mengambil tindakan susulan.

Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin menganggap perjumpaan malam kelmarin sebagai amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada mereka mendapat maklum balas dan input mengenai beberapa permasalahan yang mungkin tidak dipandang serius selama ini.

“Dengan ada interaksi sebegini, kami BNBBC akan dapat mengangkat masalah ini kepada agensi kerajaan bertanggungjawab dan ini dapat membantu meringankan permasalahan yang mereka hadapi. 

“Kita juga senang hati melihat pelajar di sini berada dalam keadaan selamat, walaupun ada beberapa isu membabitkan pelajar baru-baru ini, tetapi ia tidak menjejaskan harapan dan reputasi mereka untuk terus menimba ilmu pengetahuan,” katanya selepas jamuan malam ramah mesra BNBBC dengan penuntut Malaysia di Indonesia di sini, malam kelmarin. 

Sekumpulan anggota BNBBC yang diketuai Bung Moktar kini dalam rangka lawatan empat hari ke ibu kota ini sejak Khamis. 

Antara masalah yang akan diambil tindakan lanjut oleh BNBBC ialah berkaitan kurangnya biaya biasiswa untuk penuntut perubatan di universiti swasta di Jakarta khususnya apabila mereka terpaksa menjalani latihan amali di hospital yang jauh dari universiti mereka. 

“Mereka tak mempunyai kos dalam biasiswa mereka untuk pergi ke kawasan yang jauh dari universiti mereka. 

“Kita akan meminta JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan siapa juga yang menaja biasiswa mereka agar memasukkan peruntukan kos sebegini, jika tidak mereka akan terus berhadapan dengan senario yang tidak baik,” katanya. 

Bung Moktar berkata, perjumpaan malam kelmarin juga memberi peluang kepada BNBBC memberi penjelasan mengenai dasar dan aspirasi kerajaan melalui perubahan yang sedang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak seperti transformasi ekonomi, politik dan keselamatan.

No comments:

Post a Comment