My Add

Monday, 28 November 2011

Perpaduan, disiplin fokus utama Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 November, 2011:
ASPEK perpaduan dan disiplin dalam parti akan menjadi fokus utama dalam perhimpunan agung Pergerakan Wanita UMNO yang akan bermula esok, kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, kedua-dua aspek ini yang berelemenkan konsep setiakawan dan kesatuan mustahak dibincangkan sebagai persiapan parti untuk ke ”medan perang”, dan secara tidak langsung menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Wanita akan usulkan ke arah itu (perpaduan dan disiplin). Bila jentera pilihan raya kuat, disiplin dan fokus, saya percaya kita akan hadapi pilihan raya umum dengan tabah dan bawa kepada kemenangan,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa Wanita Umno bukan sahaja merupakan tulang belakang parti malah menjadi aset penting yang mampu memberi kestabilan kepada parti.

Wanita UMNO yang kini mempunyai keanggotaan mencecah 1.3 juta orang akan terus fokus dan ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara, katanya.

"Dalam politik mana yang tiada masalah? Tambahan pula pembangkang, dia takut kerana Wanita UMNO kukuh, bersatu padu dan ada cubaan untuk goyahkan kita. Tapi kita tetap kental. Kita tiada agenda lain sebab agenda kita adalah membina dan bukan memusnahkan,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment