KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak, mahu pimpinan parti di peringkat bahagian dan akar umbi bekerja secara luar biasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak, mahu pimpinan parti di peringkat bahagian dan akar umbi bekerja secara luar biasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Perdana Menteri juga berpesan supaya wakil bahagian parti jangan mengambil mudah PRU-13 kerana cabarannya pasti luar biasa dan yang paling getir bakal dihadapi oleh parti politik terbesar negara itu.
"Itu adalah antara intipati amanat Najib kepada perwakilan parti ke Perhimpunan Agung UMNO 2011," kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media bersama dua lagi Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Terdahulu mereka menghadiri majlis tertutup penyampaian amanat Presiden UMNO di sini hari ini yang bermula 3.30 petang hingga 4.30 petang.
Ahmad Zahid berkata, Najib juga mahu perpaduan parti diberikan keutamaan, selain keperluan menyelesaikan masalah dalaman parti di peringkat bahagian walaupun ianya bukan masalah besar.
"Tumpukan kepada agenda parti bukan agenda perjuangan peribadi. PRU-13 bukan pemilihan parti," katanya sambil menambah kalau masalah dalaman selesai, tidak akan ada sabotaj atau tikam dari belakang di peringkat akar umbi.
Mengenai "calon boleh menang" yang mungkin menggugat hierarki kepimpinan bahagian dalam pemilihan calon untuk PRU-13, Ahmad Zahid berkata Najib memberikan jaminan hierarki tetap diikuti dan kepimpinan di peringkat bahagian tetap menjadi keutamaan, tetapi ianya tertakluk sama ada mereka calon "boleh menang" atau tidak.
"Semua orang rasa dia boleh menang, dan saya fikir oleh kerana kita ada kaji selidik yang dilakukan, (dan) penilaian dibuat, maka kepimpinan atas akan membuat (keputusan) berdasarkan semua maklumat (yang diperolehi)," katanya.
Hishammuddin pula berkata Najib turut mengingatkan ahli UMNO supaya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu iaitu perkara penting yang perlu difahami dalam berdepan dengan PRU-13.
"Perwakilan perlu memberi mandat yang seluas-luasnya kepada pucuk pimpinan bagi memenangkan parti bukan individu-individu tertentu," katanya.
Mohd Shafie berkata, Najib mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang dengan kejayaan yang selesa bagi membolehkan kerajaan terus dapat melaksanakan pelbagai program transformasi yang dilancarkannya dengan sebaik mungkin demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula menyifatkan amanat Presiden UMNO sungguh luar biasa bagi meniup semangat dan membentuk perpaduan dalam parti.
"Presiden UMNO juga mengingatkan kita supaya bekerja dengan luar biasa, serta dengan jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan parti," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pula berkata Najib turut memberikan imej bahawa PRU-13 boleh dianggap sebagai satu peperangan yang besar di mana semua ahli UMNO perlu turun sebagai satu keluarga.
"Sehubungan itu, kita tidak boleh leka dan tidak boleh ada elemen negatif seperti dulu termasuk unsur sabotaj sesama sendiri untuk hadapi pilihan raya nanti," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment