My Add

Monday 28 November 2011

Seramai 1,967 mangsa banjir dipindahkan di Kelantan

KOTA BHARU, ISNIN, 28 November, 2011; SERAMAI 1,967 orang mangsa banjir daripada 610 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir membabitkan tiga daerah di negeri ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, tiga daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat sehingga kini masih lagi terlibat dengan bencana itu.

Pusat pemindahan yang dibuka di ketiga-tiga daerah itu juga masih 11 buah seperti malam tadi.

Daerah Pasir Mas paling teruk terjejas dengan sembilan buah pusat beroperasi di situ diikuti masing-masing sebuah di Kota Bharu dan Tumpat, katanya.

Beliau berkata, paras Sungai Golok di Rantau Panjang pagi ini menunjukkan penurunan kepada 10.09 meter, bagaimanapun masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Selain itu jurucakap itu berkata, hanya empat jalan ditutup kepada kenderaan ringan pagi ini iaitu di Pasir Mas dan Tumpat.

Di daerah Kuala Terengganu tidak banyak berubah

Keadaan banjir di daerah Kuala Terengganu pagi ini tidak banyak berubah berbanding petang semalam.

Seramai 107 mangsa daripada 28 keluarga masih lagi berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong berbanding 117 orang petang semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri berkata, enam daripada tujuh daerah di Terengganu dilanda banjir dalam pusingan pertama ini melibatkan hampir 3,000 mangsa.

Daerah-daerah itu ialah Kuala Terengganu, Marang, Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan sehingga pukul 8 pagi ini, paras air di semua sungai utama berada di tahap normal. – BERNAMA


No comments:

Post a Comment