DR. MAHATHIR Mohamad mengadakan sidang akhbar yang turut disertai Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) dan Ahmad Shabery Cheek pada Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011: KERAJAAN Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di landasan yang betul berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju seterusnya mencapai Wawasan 2020.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Najib telah berusaha keras untuk tujuan itu walaupun berhadapan keadaan sukar ekoran pelbagai masalah disebabkan mempunyai majoriti yang kecil di Parlimen.
Katanya, keadaan itu tidak seperti beliau dahulu yang boleh menangani masalah oleh pembangkang kerana mempunyai majoriti yang besar.
“Beliau (Najib) berusaha keras. Saya tidak boleh kata yang beliau berupaya untuk (membawa negara) mencapai Wawasan 2020, tetapi banyak orang berkata Malaysia sudahpun menjadi sebuah negara maju,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menurut laporan AZRAI MOHAMMAD, Dr. Mahathir mengulas ucapan Najib ketika merasmikan forum tersebut yang bertemakan Transformasi Politik, Ekonomi Dan Sosial Di Era Krisis Global dengan mengatakan era pentadbiran beliau begitu mencabar serta memerlukan perubahan besar.
Sehubungan itu tambah Najib, UMNO dan BN perlu memastikan parti itu dipilih semula oleh rakyat untuk terus memerintah.
Menurut Dr. Mahathir, perkembangan politik dalam UMNO kini lebih baik daripada 2008 kerana ketika itu ramai ahli parti mengundi pembangkang bukan kerana mereka tidak suka UMNO tetapi mereka tidak suka dengan pemimpin pada waktu itu.
Katanya, kerajaan telah melakukan yang terbaik supaya rakyatnya hidup lebih sempurna sejak negara merdeka, oleh itu tiada sebab untuk rakyat menentang kerajaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir menggesa semua negara bersiap sedia menangani krisis global yang ‘berjangkit’ akibat globalisasi.
“Hakikat yang kita perlu terima ialah kita tidak lagi boleh mengasingkan diri daripada apa yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, usaha pemulihan tidak serupa untuk semua negara berikutan persekitaran yang berbeza.
“Anda perlu sesuaikan diri dengan perubahan persekitaran. Ia bergantung kepada negara anda. Malaysia cuba melakukan banyak transformasi. Saya berharap kerajaan akan berjaya dalam mentransformasikan ekonomi dan masyarakatnya sendiri. Saya harap dengan berbuat demikian mereka akan terus mendapat sokongan rakyat dan negara kekal makmur,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir menasihati pemimpin-pemimpin kerajaan agar jangan sesekali menyalah guna kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka.
Katanya, tujuan rakyat memilih pemimpin untuk membantu mereka dengan membangunkan negara dan bukannya menjadi orang kaya.
“Dalam era sekarang, pemimpin berdepan dengan rakyat yang bijak. Mereka akan bertanya sekiranya pemimpin melakukan sesuatu yang tidak menggembirakan, malah mereka turut melakukan demonstrasi disebabkan perkara itu.
“Lebih malang apabila pemimpin sudah tidak berkuasa lagi, rakyat akan menghantar pemimpin tersebut ke penjara dan inilah yang berlaku dalam keadaan dunia sekarang,” ujarnya. Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment