My Add

Monday 28 November 2011

Sanggup pecah penjara hanya kenyataan politik - Najib

KUALA LUMPUR, ISNIN, 28 November, 2011:
KENYATAAN pembangkang yang mahu memecahkan penjara sekiranya pemimpin mereka dipenjarakan hanyalah kenyataan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Negara kita ada undang-undang. Siapa boleh pecah penjara?” katanya pada sidang media selepas merasmikan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali pada Jumaat lepas, bahawa parti itu akan “merobohkan tembok penjara” jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, bagi membebaskan Ketua Pembangkang itu.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, semua pihak termasuk pembangkang tertakluk kepada undang-undang negara ini.

"Kita ada undang-undang, kita mesti hormati undang-undang. Kalau tak hormati undang-undang jadi huru-haralah negara kita,” katanya.

Perbicaraan kes liwat Anwar kini berada pada peringkat akhir dan Mahkamah Tinggi dijadual mendengar penggulungan akhir hujah pembelaan pada 8 dan 9 Disember ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment