My Add

Monday 28 November 2011

UMNO perlu teruskan aktiviti 'pikat' rakyat'

RAZALI Ibrahim menyembur air ke arah sekumpulan kanak-kanak yang mengikuti program khatan secara beramai-ramai bagi Parlimen Muar di Poliklinik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, semalam.

MUAR, ISNIN, 28 November, 2011: PARA pemimpin dan ahli UMNO perlu meneruskan program serta aktiviti yang boleh memenangi hati rakyat bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus disokong dan menjadi pilihan utama pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, biarpun pelbagai kelemahan parti pembangkang telah terdedah, ahli UMNO diingatkan supaya tidak leka kerana ia masih belum menjamin sokongan rakyat terhadap parti dan kerajaan.

''Jangan kita hanya menggunakan isu-isu daripada kelemahan pembangkang untuk meraih sokongan rakyat.

''Kita perlu memahami apa yang kita laksanakan seperti transformasi ekonomi yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya rakyat akan rasa sayang kepada UMNO dan kerajaan," katanya selepas merasmikan majlis berkhatan ramai-ramai di Poliklinik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini hari ini.

Seramai 170 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dari kawasan Parlimen Muar mengambil bahagian dalam program tersebut.

Razali berkata demikian sebagai mengulas pelbagai kelemahan pembangkang termasuk dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menganggap Johor tidak selamat serta kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat Mat Indera, pemimpin Parti Komunis Malaya sebagai pejuang dan bukannya anggota polis yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menambah, UMNO perlu terus berbakti sehingga masyarakat dapat merasakan parti itu perlu ada dan kekal setiap masa.

''Yang kita perlu buat sekarang ini adalah perkara-perkara yang membolehkan kita dihormati dan disayangi kerana kita berada di mana-mana," tambah beliau.

Katanya, sekiranya semua ahli parti berada di tengah masyarakat dan menjalankan tugas dengan berkesan, masyarakat bukan sahaja sayang kepada parti berkenaan tetapi akan berasa kehilangan tanpa kehadiran UMNO. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment