Muhyiddin Yassin |
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
UMNO menegaskan bahawa ia tetap sebuah parti yang membela nasib orang Melayu dan oleh itu penting kuasa politik Melayu dipertahankan, terutama daripada serangan pembangkang yang cuba mewujudkan persepsi UMNO tidak lagi mampu berbuat demikian.
Dengan nada tegas dan serius, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata UMNO tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin "merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu".
Katanya, orang Melayu kian resah akibat banyaknya fitnah terhadap UMNO yang cuba menafikan jasa dan bakti parti itu terhadap orang Melayu selama ini.
"Malah dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa," kata Muhyiddin semasa merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Sambil menegaskan UMNO adalah parti yang "tiada galang-ganti", Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, anggota dan pemimpin UMNO memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata UMNO sudah bangkit daripada rempuhan tsunami politik pada 2008 yang menjadi keresahan orang Melayu mengenai masa depan mereka, dengan mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat.
Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, Muhyiddin berkata kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tanpa rasa apologetik sudah mewujudkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Program Transformasi Ekonomi Bumiputera, dan Program Tranformasi Luar Bandar.
"Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang sudah dilakukan UMNO selama ini dalam perjuangan mengangkat martabat ekonomi Bumiputera," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemimpin UMNOn juga tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan.
"Terbaru, kita sudah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan. Dengan dana sebanyak 500 juta ringgit, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan Bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Beliau juga berkata, UMNO akan terus mempertahankan institusi-institusi agama daripada terus dipersenda dan diperlecehkan, kedudukan Raja sebagai ketua agama akan dijunjung, kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguatkuasaan agama dan undang-undang Islam pula akan terus dibela.
"UMNO mengambil pendekatan Wasatiyyah iaitu sederhana dan seimbang dalam melakukan lonjakan terhadap Islam dan hubungannya dengan pembangunan dan ketamadunan," katanya.
Muhyiddin seterusnya membidas parti lawan dengan menyifatkan DAP sebagai parti paling rasis, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti ultraliberal yang tiada asas moral manakala Pas sanggup menggugurkan perjuangan negara Islam semata-mata kerana tidak mahu dikecam oleh DAP.
"Hari ini, kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan.
"DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol," katanya.
Beliau berkata, DAP tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam kerana walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh keluarga tertentu dalam kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja.
Menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) parti yang amat tenat kerana hampir semua pengasas parti itu sudah meninggalkan parti dan menyokong UMNO, Muhyiddin berkata PKR ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam serta sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya.
"Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.
"Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum mereka," katanya.
Muhyiddin berkata, PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak daripada tujuan penubuhannya iaitu mempertahankan seorang individu.
Mengenai Pas, Muhyiddin berkata parti itu yang suatu ketika dahulu begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam, kini negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik Pas.
"Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin Pas, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam Pas. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk," katanya.
Beliau berkata, bagi Pas dalam menghadapi landskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment