KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
BERIKUT adalah petikan ucapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa": Suatu Jihad" ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
** Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, Umno memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.
** Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada Yang Amat Berhormat Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallaha ma’ana. (Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah swt ada bersama kita)
** Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.
** Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dahulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu?
** Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.
** Hakikatnya, UMNO sudah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu.
** Umno tetap sedar bahawa bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, realiti landskap politik negara yang majmuk sifatnya mesti dipelihara. Jangan kita tanamkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Jangan kita lemparkan kehinaan kepada agama-agama lain. Jangan kita titipkan prasangka kepada budaya-budaya lain.
** Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka.
** Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti.
** Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan lari ke luar negara. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti.
** Sebagai sebuah organisasi, Umno tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.
** Dalam perjuangan ini, UMNO tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita.
** Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 kawasan Parlimen, 576 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita.
** Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment