My Add

Wednesday, 29 February 2012

Agensi Pembantu Rumah digesa patuh akujanji

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Kesemua 281 agensi pembantu rumah yang telah menandatangani akujanji digesa mematuhi syarat untuk menawarkan perkhidmatan pembantu rumah Indonesia dengan kos RM4,511.

Ketua Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Sh. Yahya Sh. Mohamed berkata, syarat itu jelas dan telah dipersetujui bersama apabila agensi berkenaan menurunkan tandatangan.

Justeru, katanya, beliau kecewa dengan permainan beberapa agensi yang dilihat cuba menawarkan perkhidmatan pembantu rumah dengan kos yang tinggi iaitu bermula dari RM6,000 hingga RM13,000.

"Kerajaan tidak akan berganjak daripada persetujuan bahawa kos menyediakan khidmat pembantu Indonesia ini mestilah sebanyak RM4,511.

"Kita beri mereka (agensi pembantu rumah) tempoh sehingga esok untuk menyatakan persetujuan ke atas kos ini dan sekiranya mereka ingkar, kita akan mengeluarkan nama agensi mereka daripada senarai agensi yang dibenarkan membawa masuk pembantu rumah Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) Ke-17 dan melancarkan sistem permohonan pendaftaran majikan pembantu rumah Indonesia, di sini hari ini.

Hadir sama Direktor Jeneral Bina Penta, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Reyna Usman serta Presiden PAPA, Jeffrey Foo.

Sistem berkenaan adalah inisiatif terbaru PAPA untuk mengumpul maklumat berkenaan dengan majikan yang memerlukan pembantu rumah dengan hanya mendaftar pada talian 1800-222-000.

Tambahnya, sehingga kini hanya dua buah agensi sahaja yang bersetuju untuk mematuhi kos berkenaan dan kerajaan tidak akan teragak-agak mencari alternatif lain bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Sekiranya perkara ini tidak diselesaikan oleh agensi, kerajaan mungkin menimbang untuk mengambil alih fungsi mereka bagi menyedia dan membawa masuk pembantu ke negara ini.

"Apa guna di hadapan menyatakan persetujuan tetapi di belakang bertindak sebaliknya. Kita mahu agensi ini patuh dan mengikuti apa yang telah mereka persetujui termasuklah berkenaan kos yang ditetapkan," tegasnya.

Sementara itu, Reyna berkata, pihaknya turut berharap agar masalah yang ditimbulkan oleh agensi dapat diselesaikan dengan segera, tidak kira sama ada melibatkan agensi di Indonesia mahupun Malaysia.

"Kita di Indonesia juga telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan isu ini dapat diselesaikan seperti mewajibkan mereka yang ingin bekerja di Malaysia mendaftar di laman web serta menyediakan pekerja mahir," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment