My Add

Wednesday 29 February 2012

Hanya pegawai punyai kes diakses harta

PUTRAJAYA, SELASA, 28 Februari, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan kuasa mengakses dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan hanya dikuatkuasakan jika terdapat kes membabitkan pegawai tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Zakaria Jaffar berkata, suruhanjaya tersebut hanya akan memberi fokus kepada dokumen-dokumen yang disabitkan kesalahan dan memerlukan siasatan lanjut.

“Sekarang dokumen-dokumen tersebut disimpan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya. Apabila Ketua SPRM diberi kuasa untuk akses dokumen itu, ia bermaksud mempunyai akses kepada pegawai yang mempunyai kes dalam tempoh berkaitan sahaja.

“Kita bukan nak tengok aset yang dimiliki oleh pegawai itu sebelum dilantik atau ahli yang berhormat yang dipilih cuma hendak melihat hartanya yang telah bertambah apabila dapat jawatan.

‘‘Jika harta itu dikumpul dengan cara halal tiada masalah walaupun ketika memegang jawatan tetapi jika ada yang meragukan dan ada elemen rasuah, itu yang kita akan fokuskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini, hari ini.

Semalam kerajaan bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka bagi menentukan ketelusan dan integriti mereka kepada umum.

Dalam pada itu, ditanya persetujuan kerajaan menambah kakitangan SPRM, katanya, langkah tersebut perlu kerana pada masa ini SPRM hanya mempunyai seramai 450 pegawai penyiasat.

Menurutnya, jumlah tersebut terlalu kecil berbanding bilangan kes yang semakin bertambah dan memerlukan pegawai berkelayakan untuk menyiasat.

“Sebelum SPRM ditukar kepada suruhanjaya kita mempunyai jumlah keseluruhan pegawai sebanyak 1,840, bagaimanapun pada setiap tahun jumlah itu berkurangan hingga sekarang jumlah pegawai kita ialah 1,760 orang.

“Pengurangan pegawai SPRM pada setiap tahun disebabkan sistem perjawatan yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam melantik pegawai,” katanya.

Sementara itu, ditanya serangan sesetengah pihak kononnya SPRM masih di takuk lama walaupun menambah kakitangan, katanya, dakwaan tersebut tidak berasas kerana SPRM setiap tahun berjaya membantu kerajaan menambah pendapatan dengan menyelesaikan kes-kes berprofil tinggi.

“Pada tahun lepas sahaja kita telah berjaya menyelamatkan kerajaan daripada kerugian RM3 bilion akibat penyelewengan tafsiran cukai pihak-pihak tertentu yang disyaki bersubahat dengan pegawai kerajaan dalam Operasi 3B.

“Justeru, kita merancang menambah pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, forensik, kejuruteraan dan sebagainya supaya hasil siasatan berada pada tahap tertinggi,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment