KAMARUDDIN Siaraf (tiga dari kanan) beramah mesra dengan delegasi selepas mempengerusikan Persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN ke-11 Peringkat Pegawai Kanan (SOMRI) di Hotel Royale Chulan, semalam.
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Pelaksanaan 46 program yang disepakati dalam Persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN (AMRI) dan di peringkat Mesyuarat Pegawai Kanan (SOMRI) terdahulu dilihat berjalan lancar dengan semua negara memberikan kerjasama baik terhadap kesepakatan tersebut.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, sebagai contoh, Malaysia sendiri telah melaksanakan pelbagai program yang berkaitan komunikasi dan maklumat.
Ini khususnya dalam memberikan pemahaman mengenai ASEAN di kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, pemahaman itu dicapai dalam program-program seperti Persidangan Blogger ASEAN yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
''Fokus kita dalam SOMRI hari ini adalah untuk mengetengahkan laporan mengenai pelaksanaan program-program yang telah disepakati dalam mesyuarat tahun lepas dan mesyuarat-mesyuarat terdahulu.
''Ini untuk kita buat penilaian terhadap pelaksanaan tersebut. Banyak negara telah beri laporan yang baik. Daripada 46 program yang dikenal pasti, 45 daripadanya telah dilaksanakan. Namun, secara keseluruhannya, semua program telah dilaksanakan. Cuma satu sahaja program yang tidak dihantar laporannya kepada Sekretariat ASEAN kerana tidak diminta,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup SOMRI sempena Persidangan AMRI Ke-11 di sini, hari ini.
Persidangan AMRI Ke-11 akan berlangsung sehingga 1 Mac ini dan ia merupakan lanjutan keputusan yang dibuat semasa Persidangan AMRI Ke-10 di Vientiane, Laos pada tahun 2009.
Delegasi yang akan menyertai persidangan ini ialah dari negara-negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Laos, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Filipina, Thailand dan Singapura.
Turut sama Sekretariat ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea.
Bertemakan Media: Mengakrabkan Hubungan, Menjalin Budaya Ke Arah Komuniti Satu ASEAN, persidangan ini akan membincangkan beberapa isu mengenai penerangan dan penyiaran bagi meningkatkan kerjasama antara negara-negara anggota.
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, biarpun terdapat sedikit salah faham mengenai kaedah penghantaran laporan mengenai pelaksanaan program kepada Sekretariat ASEAN, perkara itu telah diselesaikan dengan baik.
''Ada wakil Sekretariat ASEAN dalam mesyuarat hari ini dan segala salah faham telah diperbetulkan," ujarnya.
Mengenai perjalanan AMRI Ke-11 setakat ini, katanya, ia berjalan lancar dan semua delegasi memahami agenda yang dibawa oleh Malaysia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment