My Add

Tuesday 28 February 2012

Taman rekreasi pertama dibina atas loji kumbahan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 yang menggunakan kaedah pembinaan teknologi hijau dan merupakan rawatan kumbahan bawah tanah bakal mencatat sejarah dalam sistem pembetungan negara apabila sebuah taman rekreasi pertama dibina di atas loji berkenaan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, sebahagian besar loji itu akan dibina di bawah tanah manakala bahagian atasnya akan dijadikan taman rekreasi dan fasiliti sukan termasuk sebuah pusat komuniti yang akan memberi manfaat kepada warga kota terutama penduduk di sekitar Pantai Dalam.

"Penduduk setempat akan menikmati manfaat loji itu yang berasaskan pendekatan hijau dan sebuah taman rekreasi yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti sukan seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, bola keranjang, tenis, sepak takraw, taman permainan kanak-kanak dan trek joging.

"Pembinaan loji itu juga menggunakan teknologi moden dan kaedah terkini serta mampu merawat aliran kumbahan dalam kapasiti yang lebih banyak iaitu kira-kira 1.423 juta penduduk setara (PE) sehari yang merangkumi kawasan sekitar Bandar Baru Sentul, Bukit Kiara, Seputeh, Kerinci dan Jalan Klang Lama tanpa sebarang pencemaran bau.

"Loji itu juga dapat menjana bekalan elektrik untuk kegunaan dalaman dan taman rekreasi dengan mengitar semula gas yang dilepaskan daripada loji dan ditukarkan ke dalam bentuk biogas," katanya ketika ditemui selepas meninjau projek pembinaan tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengawai Eksekutif Beijing Enterprise Water Group (Malaysia) Sdn. Bhd. (BEWG), Vence Ong Kian Min; Pengarah Eksekutifnya, Amirul Rahman Abdul Rahim dan Pengarah Teknikal, Yeung Kai Hoo.

Projek yang memakan masa selama empat tahun itu dibina di atas tanah seluas 15.2 hektar yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dengan melibatkan kos perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM983 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2016. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment