My Add

Wednesday, 29 February 2012

Rakyat akar umbi tak diabai

PUTRAJAYA, SELASA, 28 Februari, 2012: Datuk Seri Najib Razak, berkata negara tidak mengabaikan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat pada peringkat akar umbi walaupun memberi perhatian terhadap usaha menjana kekayaan melalui pengkomersialan dan inovasi. 

Perdana Menteri berkata, inovasi sebaliknya perlu dilihat dalam konteks usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan mutu kesihatan awam dan kemajuan dalam bidang pertanian.
Ini juga ada kaitan dengan hasrat kita membangunkan kawasan desa dan luar bandar berdasarkan model baru yang seimbang dengan keadaan abad ke-21, katanya ketika berucap sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara, di sini semalam.
Najib berkata, peranan sains dan teknologi amat penting bagi menambah nilai produk inovasi yang boleh dihasilkan oleh masyarakat akar umbi. 

Justeru, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan membentangkan kertas kerja mengenai inovasi akar umbi untuk melihat bagaimana menggunakan pendekatan amalan terbaik yang digunakan di bidang lain yang terbukti berjaya menangani masalah keperluan asas dan harian masyarakat. 

Berhubung kekurangan minat pelajar mengenai subjek sains dan matematik serta tahap inovasi yang masih rendah terutama di kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Najib berkata perkara itu akan ditangani secara agresif. 

Beliau berharap pelan hala tuju modal insan dalam PKS yang sedang dibangunkan serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akta Sains yang sedang digubal dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini.

Saya percaya inisiatif itu akan dapat menangani isu kritikal seperti pembangunan modal insan, bilangan penyelidik yang masih rendah, kemajuan kurang menarik dalam kerjaya sains, pelaburan pembangunan dan penyelidikan yang sederhana dan tahap inovasi yang belum memuaskan, katanya. 

Beliau berkata Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam dan Ekuiti di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) pula diberi mandat menambah baik landskap dan mekanisme pelaburan dalam R&D bagi memastikan pulangan setimpal. 

Dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, Perdana Menteri berkata, ada kemestian bagi mengimbangkan pelaburan dalam bidang penyelidikan asas dengan kehendak pasaran seperti sasaran awal pada nisbah 50-50.

Bagi mencapai sasaran itu, kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan dengan industri perlu diperhebat serta dipertingkatkan selaras kehendak model inovasi negara, katanya. 

Najib juga berkata adalah penting untuk mengimbangkan  -kemajuan sains dan teknologi dengan sains sosial kemanusiaan dalam agenda pembangunan negara untuk mengelak kemudaratan kepada negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment