PULAU PINANG, ISNIN, 27 Februari, 2012: Tidak sabar untuk mengundi jika Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada tahun ini.
Demikian reaksi Nurul Syazwani Roslan, 23, selepas mendaftar sebagai pengundi di kaunter yang dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena Majlis Mai Secawan Dan Sembang Petang anjuran UMNO Bahagian Bayan Baru di Dewan Persatuan Penduduk Bukit Gedung di sini semalam.
Menurut Nurul Syazwani, beliau mahu menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan mendaftar sebagai pengundi.
"Saya tidak sabar kerana jika pilihan raya diadakan nanti, saya akan keluar sebagai pemilih buat kali pertama.
"Selain itu, saya tidak mahu apabila ada sesuatu dasar yang dibuat oleh kerajaan nanti dan tidak dipersetujui ramai, saya hanya menjadi sebahagian daripada individu yang gemar membuat bising di belakang, sedangkan pada hakikatnya langsung tidak mendaftar sebagai pengundi," katanya.
Beliau yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang di Bayan Lepas berkata, golongan muda harus mendaftar sebagai pemilih kerana mereka mereka juga mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju pemerintahan negara.
Sehubungan itu, Nurul Syazwani menasihati rakan sebayanya yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian.
Mohd. Ghazali Shah Jahabar, 28, pula berkata, beliau juga teruja dengan pendaftaran itu dan tidak sabar untuk mengundi.
Sementara itu, Ketua UMNO Bayan Baru, Datuk Rahim Saibu berkata, sebanyak 40 peratus pengundi muda berusia bawah 40 tahun dijangka menjadi pemilih di Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang nanti.
"Jumlah pengundi keseluruhan bagi kawasan ini ialah 72,000 orang dan golongan muda merupakan antara pecahan terbesar.
"Bagi Barisan Nasional (BN), kita secara konsisten telah mengatur pelbagai program seperti futsal belia , aktiviti permotoran dan program kebajikan yang dianjurkan oleh Pemuda untuk mendekati mereka seterusnya menyampaikan aspirasi perjuangan kita," katanya.
Sementara itu, Rahim berkata, pihaknya akan mencari peniaga kecil di kawasan itu untuk diberikan geran bantuan kewangan kepada golongan itu untuk memajukan perniagaan mereka.
"Bantuan ini disalurkan menerusi Mara dengan 13 kawasan Parlimen di negeri ini menerimanya. Setiap Parlimen akan mendapat RM100,000 dan jumlah itulah akan diagihkan kepada peniagaan mengikut kesesuaian," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment