My Add

Tuesday 28 February 2012

JAIS masih siasat dakwaan murtad di Selangor

SHAH ALAM 28 Feb. - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih dalam proses siasatan berhubung dakwaan terdapat unsur-unsur untuk memurtadkan umat Islam di negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, MAIS dan JAIS akan dipanggil dalam masa terdekat ini, bagi menerangkan perkembangan siasatan yang telah mereka jalankan berhubung isu berkenaan.

"Kita akan teliti setiap maklumat yang diterima dalam usaha memberikan keyakinan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam bahawa proses ini dijalankan dengan adil dan terbuka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvensyen Baitulmal Selangor 2012, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan menerima maklumat daripada bekas exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali termasuk klip video aktiviti murtad yang didakwa dimilikinya, Abdul Khalid berkata, siasatan berhubung isu itu diserahkan sepenuhnya kepada MAIS dan JAIS.

"Saya hanya menerima maklumat dan siasatan yang dijalankan oleh MAIS dan JAIS,” katanya.

Kerajaan Selangor pada 22 Februari lepas, meminta supaya MAIS dan JAIS menyiasat dakwaan aktiviti murtad di negeri itu berikutan dakwaan Hasan dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara tersebut.

Hasan mendakwa adanya usaha memurtadkan umat Islam berdasarkan kitab Bible bertenaga solar, mubaligh Kristian memakai jubah memasuki masjid serta minum dan mandi air suci.

Mengulas perkara itu kemudian, Abdul Khalid dilapor berkata, dakwaan Hasan tersebut tidak disertakan bukti kukuh hingga menyebabkan wujudnya rasa tidak selesa pada kalangan masyarakat majmuk di negeri ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment