KOTA BHARU, RABU, 29 Februari, 2012: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan akan memilih calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Beliau berkata, tidak semestinya calon yang dipilih itu boleh memuaskan hati semua pihak kerana setiap orang tidak sempurna, bagaimanapun pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan muktamad.
"Yang pastinya saya boleh beri jaminan sedaya upaya supaya calon yang akan bertanding adalah dipilih daripada yang terbaik,” katanya ketika sesi soal jawab pada majlis Malam Mesra bersama pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, malam tadi.
Terdahulu, seorang anggota veteran UMNO dari Pasir Mas, Ariffin Hussein, membayangkan wujud puak-puak dalam UMNO yang telah “menayangkan” calon masing-masing untuk diketengahkan dalam pilihan raya umum kali ini walaupun pucuk pimpinan parti belum membuat keputusan.
Mustapa mengingatkan anggota UMNO supaya memberi sokongan padu terhadap mana-mana calon yang dipilih bagi memastikan kemenangan BN. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment