My Add

Tuesday 28 February 2012

KPN terima anugerah kebesaran

BANGKOK, ISNIN, 27 Februari, 2012: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dikurniakan darjah kebesaran tertinggi iaitu Knight Grand Cross (First Class) of the most Noble of the Crown of Thailand oleh Raja Bhumibol Adulyadej dalam majlis penganugerahan khas di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand di sini hari ini.

Anugerah itu sebagai menghargai peranan aktif beliau mempromosikan persahabatan dan hubungan mesra antara Malaysia dan negara jiran tersebut terutama dalam usaha memerangi jenayah.

Ia disampaikan kepada Ismail oleh Ketua Polis Thailand, Jeneral Preophan Dhamapong yang mewakili Raja Bhumibol Adulyadej.

Selain Ismail, turut menerima anugerah kebesaran daripada Raja Thailand pada majlis tersebut ialah Pengarah Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Akhil Bulat.

Akhil dianugerahkan darjah kebesaran The Royal Decoration of Command of the Most Exalted Order of the White Elephant of Thailand juga kerana peranan aktifnya dalam kerjasama dengan Polis Diraja Thailand (RTP).

Kerjasama itu khususnya bersama pegawai perhubungan polis negara itu yang bertugas di Malaysia sehingga membawa kejayaan hebat dalam risikan dan keselamatan kedua-dua negara.

Selain itu, pengurniaan darjah kebesaran tersebut kepada Ismail dan Akhil sebagai menghargai hubungan rapat antara Thailand dan Malaysia seterusnya.

Ia juga diharapkan mengukuhkan lagi persahabatan, persefahaman serta kerjasama rasmi antara dua kerajaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Ketua Polis Negara, Puan Sri Suriati Md. Sobri; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin; Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ghazali Md. Amin; Komander Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Isa Munir dan beberapa lagi pegawai kanan PDRM.

Ismail ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis tersebut berkata, beliau berasa terharu dan bangga apabila diberikan penghargaan untuk menerima darjah kebesaran tertinggi daripada Raja Thailand.

"Sesungguhnya darjah kebesaran diterima itu merupakan pengiktirafan amat bermakna bagi saya dan juga PDRM.

"PDRM dan RTP akan terus bekerjasama dalam memerangi masalah keselamatan kedua-dua negara termasuk isu-isu membabitkan jenayah kecurian kenderaan, pengedaran dadah dan ancaman pengganas," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau dan Preophan bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Dalam Aktiviti Jenayah Membabitkan Malaysia-Thailand Kali Ke-21 di sini esok.

Menurutnya, mesyuarat bertujuan memantapkan lagi jalinan kerjasama antara kedua-dua negara dalam keselamatan serantau itu akan membincangkan isu-isu semasa yang perlu ditangani bersama.

Katanya, antara isu akan diberi perhatian utama dalam mesyuarat dua hala itu adalah jenayah siber yang kini menjadi ancaman dan mampu menggugat keselamatan sebuah negara seperti di beberapa negara ketika ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment