My Add

Wednesday 29 February 2012

Tiada pekerja hotel nampak kelibat geng samseng

KUANTAN, SELASA, 28 Februari, 2012: Tiada pekerja hotel yang melihat kelibat sekumpulan samseng berada di sekitar hotel di sini yang menjadi lokasi serbuan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung kes khalwat membabitkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron bersama seorang wanita, awal pagi Sabtu lalu.

Sumber hotel itu berkata, pihaknya tidak menerima laporan daripada mana-mana pekerja yang mengatakan ada sekumpulan lelaki samseng berada di sekitar hotel itu.

"Saya tidak menerima apa-apa berita daripada pekerja hotel berhubung kejadian seperti didakwa pada sekitar waktu itu.

"Daripada segi logik, kalau ada sekumpulan orang berjalan beramai-ramai dalam kawasan hotel, mesti ada staf nampak, tapi saya tak terima laporan daripada staf mengenai itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Badrulamin bahawa beliau dibelasah sekumpulan lelaki seramai kira-kira 20 orang semasa serbuan di hotel itu, awal pagi Sabtu lalu.

Badrulamin bagaimanapun enggan membuat laporan polis kerana sudah memaafkan mereka seperti kenyataannya semasa ditemui pemberita selepas memberi keterangan kepada JAIP semalam.

Ujar sumber itu lagi, hotel tersebut begitu dikenali dan faktor keselamatan antara aspek penting untuk menjamin keselamatan pelanggan, jadi mana-mana pihak dalam keadaan mencurigakan dan membahayakan pelanggan pasti akan diperhatikan.

"Kalau dikatakan ada kumpulan samseng memasuki hotel ini tanpa dapat dikesan oleh staf-staf keselamatan, itu sungguh tidak logik. Kenyataan yang mengatakan hotel ini boleh dimasuki kumpulan samseng sewenang-wenangnya sangat mencemarkan imej hotel ini," katanya.

Dalam pada itu, sumber tersebut berkata, setakat ini, belum ada laporan polis dibuat pihaknya berhubung perkara berkenaan dan menyerahkan kepada pengurusan atasan untuk tindakan lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment