My Add

Wednesday 29 February 2012

Bumiputera perlu agresif ceburi industri halal: Mukhriz

SUNGAI PETANI, RABU, 29 Februari, 2012: Lebih ramai pengusaha bumiputera disarankan menceburi industri halal yang kini mempunyai pasaran global yang semakin besar. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata industri halal mengalami pertumbuhan pesat setiap tahun dan "siapa cepat dia dapat".

Mukhriz berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa menjadi pemangkin dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mendedahkan kepada golongan Bumiputera kepada industri halal yang ada.

"Kita sediakan kursus, latihan khidmat nasihat mengenai apa yang perlu mereka lakukan supaya produk keluaran mereka itu layak mendapat sijil halal tetapi akhirnya terpulang kepada usaha sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Keusahawanan Industri Halal Bersama Bekas Tentera Malaysia di sini, semalam. 

Mukhriz berkata, MITI juga mula mendekati badan bukan kerajaan (NGO) sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap kewujudan industri halal. 

"Secara amnya dalam usaha kita meningkatan kesedaran masyarakat di Malaysia dalam industri halal kita mula mendekati NGO yang ada keahlian ramai dan di kalangan ahli mereka belum menceburkan diri dalam perniagaan. Siri perbincangan HDC (Halal Industry Developement Corporation) bersama bekas tentera Malaysia mengatakan NGO paling sesuai," katanya. 

Terdahulu dalam ucapan perasmian, beliau berkata sebanyak 82 peratus yang terbabit dalam bidang industri halal adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 30 peratus merupakan pengusaha bumiputera. 

Mukhriz berkata, kebanyakan syarikat yang terbabit dalam industri halal lebih tertumpu kepada pengeluaran makanan dan minuman sekaligus menjadikan pasaran terhad. 

Sehubungan itu beliau menyeru supaya usahawan industri halal berani meneroka bidang lain yang mempunyai permintaan tinggi seperti pengeluaran ramuan, kosmetik dan farmaseutikal halal. 

Sehingga tahun 2011, sebanyak 4,787 sijil halal dikeluarkan kepada pekilang, premis dan rumah sembelih di Malaysia dan 701 syarikat diluluskan Pensijilan Halal untuk mengeksport pengeluaran produk ke luar negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment