My Add

Wednesday, 29 February 2012

Aktif kendali aktiviti masyarakat

FREDDY Herman Tulung (kanan) dalam Persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN ke-11 peringkat pegawai-pegawai kanan (SOMRI) di Hotel Royale Chulan.

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012; Pihak kerajaan kesemua negara ASEAN digesa mengambil peranan aktif mengendalikan pelbagai aktiviti masyarakat bagi memastikan kewujudan Komuniti ASEAN 2015 menjadi kenyataan.

Ketua Pengarah Penerangan dan Komunikasi Awam Indonesia, Freddy Herman Tulung berkata, ini bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan di peringkat akar umbi di sesebuah negara itu dapat diangkat menjadi aktiviti berpusat secara serantau.

"Seperti contoh di Indonesia, kami mempunyai aktiviti ASEAN Car Free Days iaitu pada hari tertentu jalan-jalan utama di Indonesia tidak boleh dilalui kereta, hanya dibenarkan motosikal.

"Kita juga mengadakan Festival Makanan ASEAN yang melibatkan pertukaran chef di negara-negara anggota, jadi kesemua aktiviti ini perlu digalakkan serta ditadbir oleh kerajaan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini itu bertemakan Media: Mengakrabkan Hubungan, Menjalin Budaya Ke Arah Komuniti Satu ASEAN.

Freddy memberitahu, selain aktiviti di peringkat akar umbi, kerajaan serantau juga diminta meningkatkan kerjasama dengan kesemua pemerintah negara anggota.

"Harapannya adalah supaya kesemua ini bersesuaian dengan jadual bagi melaksanakan ASEAN sebagai satu komuniti pada 2015," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment