My Add

Tuesday 28 February 2012

BN tidak bersifat perkauman walaupun parti berasas kaum

SINGAPURA, SELASA, 28 Februari, 2012: Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan sikap perkauman seperti yang didakwa pihak pembangkang walaupun perikatan itu terdiri daripada parti yang berasaskan kaum.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, walaupun dalam BN terdapat parti yang ditubuhkan berasaskan kaum, ia tidak bermakna parti itu mengamalkan sifat perkauman.

"Selama ini gambaran yang diberikan pembangkang kepada BN sebagai parti yang bersifat perkauman.

"Dalam konteks BN, amalan parti yang dilaksanakan ialah parti yang berasaskan kaum masing-masing tetapi parti yang ada bukan bersifat perkauman,” katanya kepada pemberita selepas forum yang bertajuk “Voices: Emerging Malaysian Leaders” di sini, malam tadi.

Zambry adalah antara empat panel yang menyertai forum anjuran syarikat perundingan, KRA Group.

Tiga lagi panel ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Siew dan Senator V.

Subramaniam.

Pada forum yang dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli akademik dan golongan korporat itu, pelbagai isu politik di Malaysia dibincangkan termasuk dakwaan pembangkang bahawa BN bersifat perkauman.

Zambry berkata, parti pembangkang seperti DAP yang sebenarnya mengamalkan sikap perkauman.

"Di sebalik hujahan pembangkang konon bahawa kita parti bersifat perkauman kita lihat sejarah DAP dari dulu hingga sekarang dia (DAP) bertanding di kerusi yang majoritinya orang Cina,” katanya.

Beliau berkata, jika benar DAP adalah parti untuk semua kaum, kenapa parti itu tidak meletakkan calon mereka untuk bertanding pada pilihan raya di kawasan yang majoritinya orang Melayu.

Terdahulu, Zambry mengadakan pertemuan dengan pelabur Singapura dan mereka telah menyatakan berminat untuk melabur di Perak terutama dalam bidang hartanah dan galian.

"Kita telah berbincang dengan mereka mengenai peluang-peluang pelaburan yang ada dan mereka (pelabur) telah menunjukkan minat untuk melabur di Perak,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment