KENINGAU, ISNIN, 27 Februari, 2012: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (gambar) seorang yang tenang. Oleh itu, amat jarang sekali melihat atau mendengar beliau mengeluarkan kata-kata kasar kepada sesiapa sahaja dalam kalangan kawan dan lawan.
Bagaimanapun, sebagai manusia biasa kesabarannya tetap mempunyai batasan.
Semalam, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menyebabkan semua pihak terkejut apabila melepaskan kemarahan secara terbuka terhadap adiknya, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang berlainan fahaman politik.
Semuanya gara-gara Jeffrey mahu menentangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di Parlimen Keningau.
Pairin menegaskan bahawa adiknya mempunyai hak sepenuhnya untuk berjuang dalam politik, tetapi biarlah perjuangan itu berlandaskan kepentingan rakyat, bukannya atas dasar agenda peribadi.
"Saya amat kesal dengan tindakannya (Jeffrey) yang sanggup tidak mendengar nasihat abang kerana memperjuangkan kepentingan peribadi. Beliau lebih percaya cakap orang lain yang tukang kipas dan tukang angkat kaki daripada abangnya sendiri.
"Jeffrey tidak ikhlas dalam perjuangannya, malah dia juga tidak konsisten kerana tidak berasaskan perjuangan sebenar yang bertunjangkan kepada keikhlasan membantu rakyat," katanya pada penutup Majlis Penerangan Perdana Peringkat Zon 4 Keningau, Ranau, Tenom dan Pensiangan di sini semalam.
Hadir sama kebanyakan pimpinan tertinggi Barisan Nasional bahagian terbabit dan lebih 2,000 orang termasuk pemimpin masyarakat setempat serta ketua-ketua jabatan.
Tegas Pairin, kira-kira 30 tahun beliau terpaksa memendam rasa dengan seboleh-bolehnya enggan mengeruhkan suasana, tetapi akhirnya terpaksa meluahkan perkara yang terbuku di hatinya bagi membuka mata rakyat mengenai matlamat sebenar perjuangan adiknya itu.
Beliau berkata, adiknya itu semasa berada dalam BN pernah diberi peluang sebagai senator dan timbalan menteri dalam Kabinet negara, tetapi bertindak keluar parti dan menentang Datuk Dr. Maximus Ongkili di Kota Marudu.
"Pada waktu itu dia enggan mendengar nasihat abangnya, maka saya berkempen untuk Maximus dan dia (Jeffrey) tewas," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment