My Add

Tuesday 28 February 2012

Penduduk Gebeng jawab hujahan kes Lynas pada 20 Mac

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Mahkamah Tertinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini menetapkan 20 Mac untuk 10 penduduk Gebeng menjawab hujahan bantahan awal yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia.

Ia berhubung permohonan mereka untuk mencabar keputusan memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. bagi menjalankan operasi di Loji Lynas Advanced Material Plant di Gebeng, Pahang.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf selepas mendengar bantahan awal itu di kamar beliau hari ini.

Dalam permohonan itu, 10 penduduk yang tinggal di kawasan Gebeng menamakan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom iaitu yang mengawal dan menyelia produksi, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom dan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka memohon satu perintah certiorari supaya mahkamah membatalkan keputusan lembaga itu pada 30 Jan lalu, memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia untuk menjalankan operasi di tapak Loji Lynas Advanced, di Gebeng - UTUSAN

No comments:

Post a Comment