KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Pemahaman tentang susur budaya ASEAN perlu sentiasa disemai dan ditingkatkan bagi mengelak berlakunya salah faham mengenai 'pegangan' budaya kalangan komuniti di 'kelompok' Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Budaya dan Informasi ASEAN (ASEAN-COCI), Dr. Muhammad Hadi Muhammad Melayong berkata, ia penting bagi mewujudkan kestabilan ASEAN dan masyarakat yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Jelasnya, pemahaman tersebut seharusnya disemai di peringkat generasi muda terutamanya warga universiti dengan program-program seperti pertukaran penuntut dan penganjuran kuiz-kuiz mengenai ASEAN.
''Kita (ASEAN) mempunyai nilai-nilai budaya yang perlu dihormati. Itu gunanya kita perlu pertukaran berita atau bahan-bahan yang bersangkutan dengan susur budaya sesama ASEAN.
''Ia penting bagi meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti ASEAN supaya saling menghormati dan memahami budaya sesama kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan tertutup di peringkat Mesyuarat Pegawai Kanan (SOMRI) sempena Persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN (AMRI) Ke-11 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Hadi yang juga Pengarah Penerangan Brunei berkata, bukan sahaja pertukaran bahan berita dan program bercorak kebudayaan di media massa, ASEAN perlu menggerakkan media baharu bagi mewujudkan integrasi sosial.
Dalam pada itu, ditanya mengenai 'perjalanan' media baharu di Brunei, beliau menjelaskan ia semakin berkembang dengan hampir 50 peratus penduduk di negara itu menggunakan laman sosial Facebook sebagai alat perhubungan semasa.
''Bagaimanapun, media baharu di Brunei sentiasa dipantau pihak-pihak berkenaan khususnya yang terlibat dalam hal ehwal teknologi maklumat dan Kementerian Perhubungan Brunei.
''Aspek perundangan membabitkan media baharu antara Brunei dan negara-negara ASEAN lain juga tidak banyak beza dan kita saling bekerjasama bagi membentuk perundangan yang efisien," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment