My Add

Tuesday 28 February 2012

SPRM diberi akses penuh

NAJIB Tun Razak meneliti isi kandungan buku Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah pada majlis perasmian program berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Turut hadir Mohd. Sidek Hassan (kiri) dan Abu Kassim Mohamad. - BERNAMA

Oleh HASHNAN ABDULLAH dan HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Februari, 2012: Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran Persekutuan termasuk menteri, timbalan menteri dan keluarga mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persetujuan itu sejajar dengan saranan Lembaga Penasihat SPRM supaya anggota pentadbiran kerajaan termasuk ahli keluarga terdekat mengisytiharkan harta masing-masing bagi menentukan ketelusan dan integriti mereka kepada umum.

''Berhubung langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan oleh lembaga terbabit, ingin saya jelaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengamalkan proses itu jauh lebih awal berbanding yang lain.

''Setiap anggota pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri termasuklah setiap tambahan atau pelupusan harta dan pengisytiharan itu dibuat secara berkanun," katanya ketika berucap merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 di sini, hari ini.

Januari lalu, Lembaga Penasihat SPRM mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan ahli keluarga dan pasangan menteri Kabinet mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada agensi itu.

Cadangan itu, menurut Pengerusinya, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Abu Kassim ketika ditemui menjelaskan, jumlah aset milik menteri, timbalan dan anggota pentadbiran kerajaan Persekutuan lain yang menjadi perhatian SPRM adalah sepanjang tempoh mereka memegang jawatan sahaja.

Menurut beliau, pihaknya akan melihat dengan teliti sama ada wujud atau tidak pertambahan yang mendadak terhadap jumlah aset milik mereka, termasuk ahli keluarga terdekat dalam tempoh itu.

''Apa yang menjadi perhatian SPRM bukanlah jumlah aset sebelum mereka menyandang jawatan dalam kerajaan, tetapi yang penting ada atau tidak pertambahan yang mendadak sehingga boleh menimbulkan keraguan sepanjang memegang jawatan kerajaan.

''Jadi, jumlah aset atau harta yang mereka peroleh atau sedia ada, kita akur," katanya. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment