KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Februari, 2012: Sempena Persidangan Menteri-menteri Penerangan ASEAN (AMRI) Ke-11, satu persembahan gala, ASEAN Musical Extravaganza akan diadakan pada 29 Mac ini mulai pukul 8 malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Acara ini akan menampilkan persembahan kebudayaan dari semua negara anggota ASEAN bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan mengenai budaya negara-negara jiran dalam rantau ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijemput sebagai tetamu kehormat bagi menyaksikan persembahan tersebut.
ASEAN Musical Extravaganza adalah antara cetusan idea Malaysia semasa menyertai pemukiman sektor kebudayaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 di Nusa Dua, Bali November lalu.
Pada pemukiman itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah menandatangani Deklarasi ASEAN Unity in Cultural Diversity: Towards Strengthening ASEAN Community.
Menurut Rais (gambar), terdapat 10 persembahan pementasan lagu-lagu dan tarian yang mencerminkan negara masing-masing.
''Malaysia mungkin menyumbang lebih tiga persembahan dan ini akan mencerminkan kesatuan negara-negara ASEAN dalam memupuk kerjasama kebudayaan,'' katanya.
Program berkonsepkan etnik fusion dan pop tradisional itu diadakan untuk menggalakkan pertukaran budaya di kalangan negara-negara anggota.
Setiap negara dijemput menghantar 10 artis terdiri daripada penyanyi, penari dan pemuzik.
Semasa retreat itu juga, Malaysia telah mencadangkan supaya ASEAN mewujudkan Dana Budaya bagi mempromosi pelbagai aspek kebudayaan di rantau ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment