My Add

Wednesday 29 February 2012

Giliran suami wanita dikait khalwat beri keterangan

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, SELASA, 28 Februari, 2012: Suami wanita yang dikaitkan dengan kes khalwat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron di sebuah hotel di sini awal pagi Sabtu lalu, hadir memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini.

Pertemuan selama kira-kira empat jam itu bermula pada pukul 3 petang.

Bagaimanapun, lelaki itu enggan ditemui media untuk memberi komen lanjut berhubung isu yang membabitkan isterinya itu.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz pula berkata, keputusan berhubung kes khalwat itu hanya akan dibuat setelah JAIP berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan.

"Siasatan yang dijalankan baru selesai fasa pertama dan berharap semua pihak dapat memberi kerjasama supaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Dalam kes ini (khalwat), JAIP belum sahkan sesiapa bersalah kerana siasatan masih dijalankan. Apa yang kita lakukan iaitu serbuan pada awal pagi 25 Februari lalu adalah atas aduan suami wanita itu sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Badrulamin ditahan oleh JAIP selepas diberkas oleh suami wanita berkenaan kerana disyaki berkhalwat dengan isteri lelaki itu di sebuah hotel di Kuantan awal pagi 25 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Ghazali berkata, apa yang diinginkan pihaknya dalam siasatan kes itu adalah keadilan bukan sahaja kepada tertuduh malah pengadu.

"Keadilan untuk agama diuruskan oleh jabatan agama (JAIP) melalui hukum syarak dan tidak boleh mengikut nafsu. Kami akan lakukan siasatan ini sebaik mungkin demi keadilan kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengulangi bahawa JAIP tidak pernah merancang atau berkomplot untuk membuat tangkapan terhadap mana-mana individu, sebaliknya ia dibuat atas aduan yang diterima.

"Kami (JAIP) adalah bersendirian dan dalam kes ini kami bertindak atas aduan dan ia masih dalam peringkat siasatan. Saya hanya menguruskan bagi pihak jabatan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment