KUALA LUMPUR, RABU, 29 Februari, 2012:: Tindakan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan membatalkan konsert penyanyi wanita Amerika Syarikat, Erykah Badu, yang sepatutnya berlangsungnya malam ini, mendapat sokongan Jemaah Menteri.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah membentangkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini berhubung pembatalan konsert daripada segi keselamatan dan kepentingan untuk menghormati agama, bangsa dan budaya sosial yang wujud di Malaysia.
"Sekiranya konsert ini diadakan juga, menurut Polis Diraja Malaysia, berkemungkinan berlaku pelbagai perkembangan yang boleh mencetuskan keghairahan sosial dan perkelahian mungkin berlaku disebabkan hal yang berhubung dengan agama seperti di tempat lain di dunia yang mencetuskan keghairahan di luar dugaan atau tidak dapat dikawal.
"Alasan yang teguh dari segi maruah agama, bangsa dan maruah kerajaan sendiri terpaksa diambil kira selain daripada perkara yang berkaitan dengan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, Rais mengumumkan Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) membatalkan konsert Erykah yang didapati telah melanggar garis panduan Puspal dan syarat kelulusan iaitu menyentuh sensitiviti agama, bangsa serta nilai budaya masyarakat Malaysia.
“Perbuatan artis itu yang meletakkan kalimah ‘Allah’ di badan tanpa baju adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan ia adalah kesalahan yang serius,” katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment