PUTRAJAYA, SELASA, 28 Februari, 2012: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang mengendalikan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menyasarkan pelaburan sebanyak RM15 bilion tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jebasingam Issace John berkata, ia berikutan kejayaan ECER memperoleh pelaburan lebih RM9 bilion dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding RM4.7 bilion sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, ia juga selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang berhasrat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020.
‘‘Kita telah hampir mencapai sasaran itu pada suku pertama tahun ini dan apa yang lebih membanggakan adalah semua projek pelaburan itu akan dimulakan tahun ini juga.
‘‘Saya telah berbincang dengan pasukan pelaburan ECER dan kita bersetuju meningkatkan sasaran pelaburan sebanyak RM15 bilion pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Pelaburan Baru ECER yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment