Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, SELASA, 28 Februari, 2012: Program Rondaan 1Malaysia yang menumpukan kepada kawasan bukan kategori hot spot akan diperluaskan kepada 80 kawasan berbanding 10 sebelum ini mulai bulan depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam (gambar) berkata, perluasan kawasan itu perlu sebagai satu menyahut sasaran kerajaan yang mahu mewujudkan 10,000 anggota penguat kuasa tambahan pencegahan jenayah.
‘‘Kita sudah pilih kawasan rondaan yang baru itu dan ia kini dalam peringkat akhir penilaian dan penelitian jabatan yang bertanggungjawab.
‘‘Ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula 1 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Briged Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim.
Seramai 511 kakitangan KDN daripada 27 agensi di bawah KDN menyertai Briged Rela KDN itu.
Sebanyak 10 kawasan luar ‘hot spot’ itu adalah Sungai Pelek, Semenyih, Johor Bahru, Semberong, Kluang, Pagoh, Pekan, Kampar, Masjid Tanah dan Taman Tun Dr. Ismail.
Rondaan itu disertai semua agensi di bawah KDN termasuk polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Serentak dengan pertambahan kawasan rondaan baru itu, Mahmood berkata, pihaknya telah memecahkan pasukan rondaan kepada kumpulan yang lebih kecil.
Langkah tersebut, katanya, perlu supaya rondaan bukan saja merangkumi kawasan lebih luas malah membolehkan lebih ramai anggota masyarakat setempat menyertainya.
‘‘Mereka juga akan diberikan kursus yang bukan hanya bertujuan memantapkan kemahiran rondaan tetapi juga merapatkan hubungan sesama sendiri,” katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment