My Add

Wednesday, 29 February 2012

1.5j botol air mineral ke Gaza


SAMSUDIN Hitam (kiri) menyerahkan botol air minuman kepada Raja Nong Chik Raja Zainal sambil diperhatikan Datuk Ahmad Phesal Talib (kanan) pada Majlis Pelancaran Jelajah Keamanan dan Wakaf ‘Water4Gaza’ peringkat Wilayah Persekutuan di Putrajaya, semalam.


Oleh HAKIMI ISMAIL
KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Perdana Global Peace Foundation (PGPF) akan menghantar 1.5 juta botol air mineral kepada penduduk Gaza dalam masa terdekat.

Sukarelawannya, Shamsul Azhar berkata, bantuan itu dilaksanakan berikutan kesukaran penduduk di negara tersebut mendapatkan sumber bekalan air bersih.

“Kita semua sudah sedia maklum bahawa air kumbahan yang mengalir ke Laut Mediterranean telah mencemarkan perairan serta bekalan air bersih di kawasan sekitarnya.

“Kira-kira 95 peratus air di sana tidak boleh diminum akibat dicemari kuman berbahaya. Bukan manusia sahaja tidak minum, malah binatang pun tidak minum sumber air yang ada di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan simbolik botol air mineral Wakaf Water 4 Gaza kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh.

Tambahnya, setakat ini sudah tiga negeri dijelajah oleh kumpulan Konvoi Jelajah Keamanan Wilayah Persekutuan bagi mengumpul dana untuk tujuan tersebut.

“Sebelum ini kita cuba menghantar paip pvc ke sana, namun disekat oleh Israel. Kita harap penghantaran air mineral ini dapat diterima atas dasar hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, diharapkan dengan siri konvoi jelajah itu nanti dapat menyedarkan rakyat negara ini bahawa pentingnya keamanan dalam sesebuah negara.

“Situasi di Gaza harus menjadi pengajaran kepada semua pihak. Janganlah kita membuat onar yang hanya akan memecahbelahkan perpaduan dalam negara,’’ tambahnya.

Di Putrajaya, Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yakin mampu menjual 1.5 juta botol air minuman untuk mengumpul dana bagi membantu penduduk Gaza.

Pemegang Amanah PGPF, Tan Sri Dr. Samsudin Hitam berkata, sehingga kini PGPF berjaya menjual kira-kira 400,000 botol air minuman melalui program jelajah keamanan dan wakaf ‘Water4Gaza’ yang dilancarkan di Melaka dan Perak pada tahun lalu.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menunjukkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap kekejaman dan kezaliman akibat peperangan dan pencerobohan tanpa provokasi ke atas negara lain.

“Hasil jualan akan digunakan untuk membeli air di Mesir sebelum diagihkan ke Gaza, kita mempunyai masalah untuk membawa 1.5 juta botol air ke Gaza oleh itu jika pendekatan ini digunakan ia lebih menyenangkan.

“Kita akan melaksanakan projek ini sebaik sahaja dana yang diinginkan berjaya dikumpul, jika masyarakat prihatin yang ingin memberi lebih kita tidak akan menolak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jelajah Keamanan dan Wakaf ‘Water4Gaza’ peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal.

Menurut Samsudin, program yang memberi fokus kepada penuntut universiti dan belia itu bermatlamat melahirkan kesedaran serta mendorong golongan muda supaya mengubah persepsi tentang peperangan dan keamanan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment