My Add

Tuesday 28 February 2012

Malaysia intai projek bernilai AS$160b di Qatar

KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Syarikat sektor pembinaan dan bangunan Malaysia berminat meraih sebahagian daripada AS$160 bilion nilai projek di Qatar menerusi penyertaan mereka pada Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE 2012) di sana.

Projek-projek pembinaan dan infrastruktur berbilion dollar itu dimajukan sebagai persediaan untuk Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.

Anjuran untuk tahun kelima berturut-turut oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), MSE 2012 akan berlangsung di Pusat Pameran Doha (DEC) dari 30 April hingga 3 Mei.

Ia dianjurkan serentak dengan Pameran Teknologi Pembinaan dan Bahan Binaan Antarabangsa kesembilan, kata Matrade dalam satu kenyataan hari ini.

"Syarikat kami sudah sedia untuk membida projek di Qatar, yang kini mengalami ledakan infrastruktur,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamad Kamarudin Hassan.

Beliau berkata, MSE 2012 akan mengetengahkan kekuatan syarikat Malaysia dalam sektor pembinaan, bahan binaan dan ICT, selain penyedia perkhidmatan dalam pengurusan alam sekitar.

"Walaupun banyak syarikat asing akan membida projek-projek Piala Dunia Qatar, Matrade yakin terhadap entiti Malaysia berdasarkan rekod baik menerusi pembinaan dan penyiapan projek-projek infrastruktur di rantau ini,” kata Mohamad Kamarudin. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment