My Add

Wednesday 29 February 2012

MAS catat kerugian bersih RM2.52 bilion tahun lalu

PETALING JAYA, RABU, 29 Februari, 2012: Malaysian Airline System Bhd (MAS) mencatat kerugian bersih RM2.52 bilion hasil daripada RM13.9 bilion perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2011. 

Bagi tempoh suku keempat, syarikat penerbangan negara itu merekodkan RM1.28 bilion kerugian bersih, hasil pusing ganti sebanyak RM3.68 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya, berkata kerugian kumpulan bagi 2011 menunjukkan pentingnya syarikat penerbangan itu segera melaksanakan usaha untuk mengekang "kerugian" itu.

"Ini termasuk penempatan semula petugas, meningkatkan produktiviti, kecekakapan dan kawalan kos dan membuat kajian selanjutnya. 

"Kami juga melaksanakan strategi pemasaran dan jualan agresif," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Ahmad Jauhari berkata, prestasi setahun penuh kumpulan itu terjejas teruk akibat peningkatan 21 peratus perbelanjaan berjumlah RM16.2 bilion, berbanding RM13.41 bilion pada 2010. 

Beliau berkata, perbelanjaan tinggi itu disebabkan oleh peningkatan 33 peratus kos bahan api sebanyak RM5.85 bilion dan peningkatan 15 peratus perbelanjaan bukan minyak sebanyak RM10.43 bilion. 

Peningkatan perbelanjaan bukan bahan api itu sebahagian besarnya disebabkan peruntukan berjumlah RM1.09 bilion yang dibuat pada suku keempat untuk pelupusan saham, penyerahan semula pesawat dan kekurangan pesawat kargo. 

Ahmad Jauhari berkata, akaun bagi tahun dalam kajian memperakui peruntukan dan kos operasi yang semakin meningkat dan walaupun sukar, ia memberikan pendekatan hoslitik organisasi dan pengetahuan penuh kedudukan sebenar syarikat. 

Bagi setahun penuh, Malaysia Airlines menyaksikan peningkatan kapasiti (tempat duduk setiap kilometer) sebanyak tujuh peratus, trafik penumpang meningkat lima peratus, namun faktor kerusi yang rendah berkurangan kepada 75 peratus. 

Beliau berkata, perolehan dan purata tambang bagi semua kelas menunjukkan peningkatan sepanjang tahun, terutama kabin depan. 

Bagaimanapun, katanya, terdapat penurunan keseluruhan faktor kerusi kerana syarikat penerbangan itu berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik. 

"Mengikut asas prestasi serantau, perkhidmatan domestik dan jarak pendek, perkhidmatan sesama ASEAN menjadi pasaran utama syarikat itu, dengan segmen berkenaan melaporkan pertumbuhan positif mengikut sukuan selain mengikut asas setahun setakat ini," katanya. 

Sementara itu, bahagian kargo mengalami penurunan, selari dengan penurunan industri berkenaan di dunia. 

Perolehan susut 14 peratus, kapasiti susut sembilan peratus manakala hasil pulangan dua peratus. 

Ahmad Jauhari juga berkata MASkargo mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM19 juta pada 2011 berbanding keuntungan RM141 juta pada tahun sebelumnya berikutan kos bahan api yang tinggi dan kekurangan barisan pesawat A330. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment