PENGHUNI melihat benteng yang runtuh di belakang blok Pangsapuri Lili, Taman Bukit Subang, Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM, SELASA, 28 Februari, 2012: Kira-kira 100 penghuni Pangsapuri Lili, Taman Bukit Subang di sini cemas apabila benteng batu di belakang blok perumahan mereka runtuh ketika hujan lebat malam tadi.
Kejadian pukul 8.30 malam itu yang dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah turut merosakkan empat buah kereta apabila dihempap runtuhan konkrit.
Menurut penduduk, Najib Mohd. Yatim, 40, benteng yang terletak kira-kira dua meter dari rumahnya itu senget sejak enam bulan lalu.
"Namun tidak sangka pula ia runtuh akibat hujan lebat semalam. Saya baru pulang dari kerja pukul 9 malam dan hairan melihat tempat letak kenderaan dipenuhi penduduk.
"Sebagai penduduk yang paling hampir dengan lokasi, saya bimbang jika hakisan lebih teruk dan berharap pihak berkuasa dapat menanganinya segera," katanya di sini.
Penduduk lain, Rozi Ismail, 38, berkata, dia berada di rumah dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman di luar.
"Apabila melihat ke luar, saya dapati benteng itu telah runtuh dan menghempap empat buah kereta yang diletakkan berhampiran kawasan kejadian.
"Semua kenderaan tersebut telah dialihkan pemiliknya ke tempat lebih selamat," ujarnya.
Pegawai Unit Geoteknikal Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Murat Hadani berkata, kejadian disebabkan benteng penampan di belakang Blok 33 pangsapuri itu tidak mempunyai lubang alir bagi membolehkan air bawah tanah keluar dengan sempurna.
"Kami akan meminta pihak pemaju melihat sendiri kawasan yang terjejas dan memulihkan benteng yang runtuh itu," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati pasukan polis telah memasang tali keselamatan bagi mengelak orang ramai mendekati kawasan runtuhan kerana terdapat kabel elektrik bawah tanah yang terdedah.
Semua penghuni pangsapuri yang bergegas turun sejurus kejadian itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah MBSA mengesahkan struktur tanah di kawasan runtuhan terkawal dan tiada runtuhan susulan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment