My Add

Wednesday 29 February 2012

RM1.4 juta setahun elaun sara hidup nelayan di Sandakan

SANDAKAN, RABU, 29 Februari, 2012:: Kerajaan memperuntukkan RM1.4 juta setahun untuk membayar elaun sara hidup kepada golongan nelayan di daerah ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. 

Beliau berkata, ia membabitkan peruntukan RM120,200 sebulan yang membuktikan pengiktirafan tinggi dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan nelayan dalam industri perikanan ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

"Inilah bukti keprihatinan dan kesungguhan kita untuk membela nasib rakyat di semua peringkat khususnya golongan nelayan," katanya dalam teks ucapan pada majlis pembayaran elaun kepada 601 nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Ko-Nelayan Sabah Datuk Samsuddin Yahya. 

Musa berkata, golongan nelayan juga menerima banyak insentif lain termasuk bantuan subsidi minyak petrol dan diesel untuk membantu meringankan kos operasi nelayan ke laut serta dibayar wang insentif tangkapan iaitu RM0.10 sen bagi setiap sekilo ikan yang ditangkap. 

"Saya percaya ia akan menguatkan lagi azam golongan itu untuk meningkatkan produktiviti seterusnya merealisasikan objektif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memajukan industri perikanan di negeri ini," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan semua program peningkatan taraf hidup rakyat demi keharmonian dan kemakmuran rakyat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment