My Add

Tuesday, 28 February 2012

Kesal kontraktor tak tunai janji

SEBAHAGIAN daripada peneroka Felda Gunung Bongsu menunjukkan salah satu lot ladang yang didakwa dibiarkan oleh kontraktor yang dilantik untuk proses penanaman semula di Kulim, semalam.


Oleh AZELI ALI

KULIM, ISNIN, 27 Februari, 2012: Seramai 58 daripada 118 peneroka peringkat pertama Felda Gunung Bongsu dekat Karangan di sini kesal kerana kontraktor yang dilantik Felda gagal menanam pokok getah di ladang mereka sejak tiga tahun lalu.

Mengikut perjanjian awal, kerja-kerja menanam semula getah untuk peneroka Felda Gunung Bongsu akan dimulakan sebaik sahaja pokok getah tua yang berusia lebih 30 tahun ditebang pada September 2009.

Ladang itu kemudiannya akan diserahkan kembali kepada peneroka dalam masa tiga tahun oleh pihak pengurusan Felda yang berjanji akan menguruskan semua kerja-kerja daripada menebang pokok getah, membersihkan kawasan ladang sehingga penanaman semula.

Namun, sehingga kini selepas lebih tiga tahun, kerja-kerja menanam semula getah yang sepatutnya dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik Koperasi Felda terbabit masih belum dimulakan, malah ada sebahagian kebun getah itu kini ditumbuhi semak-samun.

Seorang peneroka, Saad Saud, 62, berkata, kira-kira 58 daripada 118 peneroka peringkat pertama terlibat dalam penanaman getah, manakala selebihnya menanam kelapa sawit.

"Kami amat teruja apabila dimaklumkan Felda akan tanam semula getah kami yang sudah agak tua dan akan diserahkan kembali dalam masa tiga tahun kepada peneroka.

"Malangnya, sehingga kini penantian kami hanya sia-sia apabila kontraktor yang dilantik oleh pihak koperasi tidak menjalankan kerja-kerja tanam semula sehingga ada kebun yang telah ditumbuhi semak-samun," katanya ketika ditemui di Felda terbabit di sini hari ini.

Tambah Saad, pihak koperasi seolah-olah berdolak-dalih mengenai perkara itu ketika diajukan masalah tersebut termasuk memberi alasan kontraktor dilantik telah lari sebelum kerja-kerja dijalankan.

Bagi Shariff Mat, 65, peneroka agak kecewa dengan masalah yang timbul kerana mereka terpaksa menunggu sekian lama untuk melihat getah ditanam semula, malah terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk mengerjakan sendiri ladang yang ditinggalkan kontraktor itu.

"Ada peneroka yang terpaksa membersihkan sendiri kebun mereka yang ditumbuhi semak biarpun tugas itu sepatutnya dijalankan oleh kontraktor yang dilantik," katanya.

"Kebanyakan peneroka di sini adalah warga emas dan tidak larat lagi untuk menebas dan meracun semak-samun itu, tapi terpaksa melakukannya," ujarnya.

Perkara sama diakui Khamis Said, 59, yang berharap pihak pengurusan Felda mengambil alih kerja-kerja menanam semula getah kerana sebahagian peneroka yang menanam kelapa sawit kini menunggu untuk mengutip hasil sahaja.

Jelasnya, peneroka juga mahukan kata putus serta jawapan konkrit daripada koperasi terbabit mengenai nasib yang dialami peneroka getah dan menyegerakan kerja-kerja menanam semula itu.

"Sampai bila kami nak tunggu kerana dah lebih tiga tahun kerja-kerja menebang getah dibuat tapi tiada tanda-tanda anak getah baru akan mula ditanam.

"Semua pihak diharap lebih prihatin dengan nasib yang kami alami dan pihak pengurusan Felda harus turun padang menyelesaikan masalah kami ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment