My Add

Tuesday 28 February 2012

Potensi pelaburan francais RM124.95 juta di Guangzhou

GUANGZHOU, SELASA, 28 Februari, 2012: Misi Promosi Francais Malaysia ke Guangzhou, Republik Rakyat China, menghasilkan nilai potensi pelaburan berjumlah RM124.95 juta, hasil daripada rundingan perniagaan awal bersama seramai 37 bakal francaisi berpotensi, kata Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Misi Promosi Francais Malaysia itu diketuai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Pameran Francais (Guangzhou) China (CGFE) 2012 ke-24, dari 24 hingga 26 Februari.

Antara francais tempatan yang melaporkan potensi pelaburan ialah francais MASTERSKILL dengan dua bakal francaisi membabitkan nilai pelaburan sejumlah RM60 juta.

Francais tempatan lain dengan nilai potensi pelaburan Francais SNIPS Hair Saloon bersama 13 bakal francaisi membabitkan RM30 juta pelaburan; francais AR-RAHNU YaPeim bersama tiga bakal francaisi dan RM24 juta nilai pelaburan, dan AR-RAHNU Xchange dengan empat bakal francaisi membabitkan RM9.5 juta nilai pelaburan. “Objektif utama misi promosi francais ini adalah untuk memperkenal produk dan perkhidmatan francais tempatan ke peringkat antarabangsa.

Pasaran China dikenal pasti sebagai lokasi strategik bagi produk francais tempatan mengembangkan sayap mereka ke peringkat global,” kata Ismail Sabri.

Pameran CGFE 2012 itu dianjurkan oleh Persatuan Francais dan Rangkaian Kedai Guangzhou di Kompleks Import & Eksport China, Guangzhou.

Penyertaan delegasi Malaysia ke CGFE 2012 ini merupakan satu langkah yang signifikan ke arah penembusan produk dan perkhidmatan francais tempatan ke luar negara.

Menurut kenyataan itu, jenama francais Malaysia ke China mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung ekspo yang terdiri daripada usahawan dan pelabur dari Republik Rakyat China.

Ismail Sabri juga mengadakan pertemuan dengan Presiden dan delegasi Persatuan Francais dan Rangkaian Kedai dan Dewan Perniagaan Am Guangzhou, Hasil pertemuan tersebut, semua pihak bersetuju bahawa ini merupakan satu langkah yang amat bermanfaat kepada semua pihak sebagai satu permulaan untuk usahawan dari kedua-dua negara merapatkan hubungan kerjasama bagi meneroka peluang potensi perniagaan di kedua-dua negara. Dua memorandum persefahaman antara syarikat francais Malaysia dengan syarikat China juga dimeterai pada pameran antarabangsa itu.

Sehingga kini, 14 syarikat francaisor tempatan berjaya membuka 72 premis francais di China. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment