My Add

Tuesday 28 February 2012

Terjemah buku ilmiah asing


DR. MAHATHIR Mohamad mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Tamadun Melayu Pasca Modenisasi di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. Turut hadir Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Dr. Nordin Kardi.

PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Februari,2012: Institusi pengajian tinggi (IPT) digesa menggiatkan usaha menterjemah buku-buku ilmiah bahasa asing ke bahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah tersebut penting kerana banyak pihak di negara ini kurang minat membaca kerana gagal memahami dan menguasai dengan baik kebanyakan bahasa ilmu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Katanya, universiti sebagai sebuah pusat ilmu perlu secara aktif meningkat dan memperbanyakkan kerja-kerja menterjemah buku-buku ilmiah tersebut.

"Sebelum ini kita sudah ada Institut Terjemahan Negara yang berfungsi untuk menterjemah buku-buku ilmiah, bagaimanapun dalam masa sama pihak universiti juga perlu membantu ke arah usaha ini.

"Sebagai contoh buku-buku tafsir al-Quran di dalam bahasa Arab yang tidak diterjemah dalam bahasa Melayu menyebabkan kita gagal untuk menambah ilmu tersebut," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri persidangan tertutup meja bulat bertajuk Tamadun Melayu Pasca Modenisasi di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Persidangan itu dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Tan Sri Dr. Nordin Kardi merupakan Pengerusi jawatankuasa penganjur.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pelajaran tidak akan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun didesak untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, menurut beliau, kerajaan akan memfokuskan kepada pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang lebih sesuai untuk dilaksanakan dalam situasi sekarang.

Katanya, ia berikutan kurangnya guru yang mahir untuk mengajar dalam bahasa Inggeris berbanding menggunakan bahasa ibunda.

"Masalah yang berlaku apabila Sains dan Matematik diajar menggunakan bahasa Inggeris ialah di peringkat dasar sebab yang mengajar subjek itu tidak menggunakan bahasa Inggeris dan ada kalanya menggunakan bahasa bercampur-campur hingga murid pun keliru.

"Sebab itu bila kerajaan tubuhkan sebuah jawatankuasa kerja untuk mengkaji isu pembelajaran dalam bahasa Inggeris menerusi MBMMBI ia menunjukkan kesungguhan kita untuk memastikan supaya kaedah pembelajaran dalam bahasa itu diperbaiki," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment