My Add

Tuesday, 28 February 2012

UMNO Papar bantu bawa balik wanita dilarikan ke Sulawesi

KOTA KINABALU, SELASA, 28 Februari, 2012: Penantian seorang ibu untuk bertemu serta membawa pulang anak perempuannya yang dilarikan lelaki warga Indonesia sejak 16 tahun lalu akan berakhir apabila UMNO Bahagian Papar bersetuju membawa gadis itu kembali ke tanah air.

Ibu sepuluh anak, Saina Ibrahim, 52, berkata anak sulungnya, Roslina Sapilin, 35, dipercayai dilarikan ketika sedang bekerja di sebuah kilang roti di Sabindo, Papar.

"Anak saya sudah mahu pulang, dulu dia (Roslina) yang ketika itu berusia 19 tahun kena 'pukau' dan dibawa lari ke Sulawesi, Indonesia oleh lelaki warga Indonesia yang sama-sama bekerja dengannya di kilang roti Sabindo.

"Pada 2010, baru timbul cerita saudara di Kota Belud memberi nombor Indonesia yang mengatakan ada seorang anak gadis ingin mencari bapa kandungnya, dan selepas menelefon nombor itu serta menyoal selidik tentang latar belakang gadis yang dihubungi, memang betullah dia anak sulung saya.

"Saya sangkakan dia sudah 'mati' terkena tsunami," katanya ketika lawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, yang juga Ahli Parlimen Papar, di kediamannya di Kampung Pengalat Besar hari ini.

Saina, seorang pekerja am, berharap bantuan Rosnah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, akan membawa Roslina pulang ke pangkuannya dalam masa yang terdekat.

Beliau berkata, kehidupan seharian anaknya amat sukar, malah beliau sudah dua kali berkahwin dan mempunyai tiga anak, termasuk seorang yang dilarikan suami pertama. 

"Kalau ada duit, mahu suruh dia pulang segera...bawa anak-anak dan suami, saya dan keluarga sudah boleh terima apa yang sudah berlaku...saya amat rindukan Roslina, saya tidak mahu dia terus hidup susah di Makasar, Sulawesi.

"Jika tiada sebarang halangan, bulan Mac saya mahu dia pulang dan saya akan menantinya di Lapangan Terbang Tawau," katanya yang membuat laporan polis selepas Roslina hilang.

Sementara itu, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata pihaknya sedang menguruskan beberapa perkara termasuk dokumen membawa pulang Roslina.

Ghulam Haidar Khan yang juga Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan Sabah, berkata pihaknya akan berusaha membawa pulang gadis itu dengan kadar segera meskipun menyedari Undang-Undang Imigresen Indonesia begitu ketat terutama terhadap mereka yang masuk secara tidak sah ke negara tersebut.

"Wakil Parlimen Papar dan DUN Kawang akan segera ke sana bagi mengenal pasti masalah yang berkaitan kerana Roslina dilarikan tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan tiada pasport," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment