My Add

Tuesday 28 February 2012

JAIP hanya jalankan tugas: Timbalan Pengarah

KUANTAN, SELASA, 28 Februari, 2012: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hanya melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai penguatkuasa undang-undang dan bertindak mengikut aduan, kata Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz. 

Beliau berkata, jabatan itu juga tidak memihak kepada sesiapa dalam semua kes termasuk kes tangkapan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron, atas dakwaan berkhalwat Sabtu lalu.
"Sebagai pegawai kerajaan, dalam kes itu saya hanya berikan perkhidmatan terbaik untuk mendapatkan keadilan, bukan saya nak menangkan pengadu atau sesiapa.
"Saya juga kena patuh pada peraturan yang ditetapkan dalam tugasan saya, apa yang boleh dibuat dan tidak" katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Badrulamin yang dilapor media bahawa tangkapan terhadapnya itu adalah satu konspirasi yang turut membabitkan JAIP bagi menjatuhkan imejnya. 

Ditanya mengenai kemungkinan Badrulamin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau berkaitan kenyataannya di akhbar, Mohd Ghazali berkata beliau tidak nampak relevannya tindakan saman itu dengan tugasnya sebagai pencegah maksiat. 

"Apa pulak saya nak disaman? Saya pegawai kerajaan yang hanya jalankan tugas. Sekiranya dia juga pegawai kerajaan, apa dia rasa kalau ada orang nak saman dia," katanya. 
Mengulas lanjut, Mohd Ghazali berkata beliau belum meneliti keterangan yang diberikan Badrulamin dan wanita yang didakwa berkhalwat dengan pemimpin PKR kepada pegawai JAIP semalam. 

Katanya, jika masih ada perkara yang belum lengkap, JAIP akan memanggil semula Badrulamin bagi memberi maklumat yang diperlukan sebelum tindakan susulan diambil. 

Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. 

Badrulamin sebelum ini dilapor ditangkap berkhalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Balok pada awal pagi Sabtu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment