KUALA LUMPUR, SELASA, 28 Februari, 2012: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini sebulat suara memutuskan untuk membuat ketetapan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang dilihat tidak serius menangani permasalahan membabitkan pekerja di negara ini.
Presidennya, Mohd. Khalid Atan berkata, pendirian tersebut terpaksa diambil berikutan sikap menteri terbabit yang tidak menunjukkan sebarang keprihatinan dalam usaha menyelesaikan isu-isu yang timbul berkaitan hak-hak pekerja.
"Dia seolah-olah memandang remeh masalah yang dialami oleh para pekerja dan dilihat tidak serius dalam usahanya mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku.
"Kami sudah puas melakukan perhimpunan secara aman berhubung isu tersebut tetapi pihak kerajaan seolah-olah tidak mengendahkan rungutan kesatuan ini. Kami juga sudah berulang kali menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun sehingga kini masih tiada maklum balas.
"Sehubungan itu, MTUC sebulat suara menyatakan bahawa kami kini telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Subramaniam selaku Menteri Sumber Manusia," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment