JAKARTA, SELASA, 28 Februari, 2012: Syarikat tenaga Indonesia, PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) merancang untuk memulakan dagangan elektrik pada skala yang besar dengan Malaysia pada 2014 selepas pembinaan rangkaian transmisi yang menghubungkan Kalimantan Barat dan Sarawak.
Pengarah Presiden PLN, Nur Pamudji berkata, antara 50 dan 100 megawatt elektrik boleh didagangkan melalui saluran transmisi 275 kilowatt yang telah dirancang.
Perbincangan mengenai pembinaan kemudahan yang sewajarnya kini berlangsung, kata Nur Pamudji yang dipetik sebagai berkata demikian dalam “The Jakarta Post”, pada Selasa.
"Sebenarnya, kami kini mengimport elektrik dari Sarawak tetapi kapasitinya amat kecil, di bawah 1 megawatt dari loji janakuasa hidro mikro,” katanya.
Nur Pamudji berkata, saluran transmisi lain yang menyambungkan Indonesia dan Malaysia adalah Sumatera Selatan dan Semenanjung Malaysia.
Kabel dasar laut berkuasa 250 kilowatt akan dipasang bagi menyalurkan elektrik dari janakuasa berkuasa arang batu di Sumatera Selatan.
"Bagaimanapun, perbincangan mengenai kedua-dua saluran transmisi masih belum diperincikan,” kata beliau. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment